Isnin, 11 Jun 2012

Hijrah dorong bebaskan umat Islam dari belenggu penjajahan moden


Hijrah bukan sekadar perpindahan Nabi saw dan para sahabat dari Mekah ke Madinah. Tetapi lebih dari itu.

Hijrah juga bukan sekadar perarakan, nyanyi lagu Maal Hijrah, ada persembahan nasyid, ada ceramah, adakan tema tahunan, tokoh Maal Hijrah seperti yang kita lihat di negara kita ini. Kalaulah itu yang kita faham pasal 'hijrah' maka sesungguhnya kita sebenarnya masih belum faham Sirah Nabi.

Nabi saw berhijrah selepas menerima wahyu. Penghijrahan Nabi saw merupakan satu strategi dakwah yang paling hebat. Hijrahnya Nabi saw bukannya semudah pemusafiran kita pada hari ini. Baginda melaksanakan arahan hijrah berbekalkan iman dan tawakal yang mutlak kepada Allah.

Hijrah adalah dalil yang menunjukkan Islam dan politik tidak boleh dipisahkan. Ia membuktikan Islam perlu memerintah dan bukan diperintah. Hijrah juga menunjukkan Islam itu sebenarnya agama yang lengkap dengan semua sistem hidup yang diperlukan.

Mereka yang kata Islam dan politik tiada kaitan adalah mereka yang tidak mengkaji Sirah Nabi saw. Kalau sekadar mahu melakukan ibadat ritual seperti solat, puasa dan haji, di Mekah pun baginda dan para sahabat boleh melakukannya. Kalau Islam itu sekadar bersifat ibadah ritual dan peribadi, kenapa pembesar Musyrikin Mekah takut akan Islam dan baginda saw perlu berhijrah?

Ketakutan para pembesar Mekah melihat dakwah Islam Nabi saw semakin berkembang, sama lah seperti takutnya para pemimpin sekular hari ini melihat gerakan-gerakan Islam bangkit di seluruh dunia dan mula menguasai massa. Kalaulah pilihanraya di seluruh dunia ini berlaku dengan adil dan saksama, sudah pasti majoriti negara hari ini diperintah oleh pemimpin Islam yang sebenar.

Tuduhan para pembesar Mekah terhadap baginda dan para sahabat, "Kalian pemecah belah perpaduan kaum Arab, Muhammad itu penyihir! Muhammad itu penipu! Muhammad itu pendusta!" juga adalah sama dengan tuduhan para pemimpin sekular terhadap gerakan Islam yang mengatakan pendokong gerakan Islam adalah pengkhianat negara, pemecah perpaduan, kaki penipu, tidak intelek, jumud,pengganas dan sebagainya.

Hijrah yang pertama ke Habsyah, yang diperintah oleh an-Najasy, menunjukkan juga betapa pemimpin Mekah tidak habis-habis mahu memfintah dan mengadu domba mengenai Islam. Tetapi kebijaksanaan an-Najasy berjaya mematahkan konspirasi mereka. Sikap yang sama juga ditunjukan oleh para orientalis, golongan liberalis, golongan kapitalis serta para sekularis yang tidak habis-habis mahu memburukkan imej Islam melalui media dengan mengatakan Islam menaja keganasan, Islam tidak mampu menyelesaikan masalah manusia, Islam penganjur kemunduran, Islam cukup sebagai ibadat ritual, Islam tidak universal dan pelbagai lagi tohmahan nista yang mahu menutup cahaya Allah ini.

Nabi saw disambut dengan nasyid 'Tola'al Badru' dengan penuh kegembiraan oleh para penduduk Madinah setelah mesej Islam yang sebenar telah berjaya disampaikan oleh para Naqib yang dilatih semasa perjanjian-perjanjian Aqabah. Namun disebalik kegembiraan itu, pihak Yahudi dan munafik adalah golongan yang pedih menerima hakikat kedatangan Baginda kerana mereka tahu kezaliman dan penindasan mereka akan berjaya dihalang oleh Islam.

Justeru pada hari ini tidak hairanlah kalau segala kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam ditaja oleh para pemodal yang berhati busuk ini kerana mereka sudah tahu akibatnya, iaitu kehilangan wang dan kuasa kerana Islam apabila memerintah, seluruh rakyat akan ditadbir dengan penuh adil dan saksama. Segala monopoli ekonomi akan dibanteras oleh Islam.

Hijrah adalah proses pembinaan negara. Pembinaan sebuah kerajaan yang mahu menyelamatkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah yang satu. Mewujudkan negara yang berteraskan kepada segala nilai dan undang-undang yang baik yang diambil dari Quran dan Sunnah. Ini adalah konsep hijrah yang perlu kita fahami baik-baik.

Sahabat Nabi saw berhijrah dengan sehelai sepinggang. Pengorbanan. Demi untuk melihat Islam memerintah. Abdul Rahman al-Auf, seorang saudagar terpaksa meninggalkan segala kekayaannya di Mekah. Bukanya beliau seorang, tetapi ramai lagi yang begitu. Bekalannya adalah iman dan taqwa.

Hari ini mereka yang berkata tentang Islam juga perlu berdepan dengan risiko sebegitu. Imam, Khatib, jurudakwah yang berkata kalimah yang haq di masjid-masjid akan berdepan dengan risiko kehilangan pendapatan. Pelajar yang komited dengan Islam juga menerima pelbagai ugutan yang tidak masuk dek akal. Para kakitangan kerajaan yang mahukan Islam juga pasti berdepan dengan tindakan tatatertib dan buang kerja. Pengorbanan yang kecil berbanding yang telah ditempuh oleh baginda dan para sahabat.

Persaudaraan yang sebenar telah ditunjukkan oleh kaum Ansar apabila mereka sanggup berkongsi kekayaan dengan kaum Muhajirin. Kalau ada isteri lebih, mereka sanggup ceraikan dan beri pada kaum Muhajirin yang keseorangan. Semua penduduk Madinah berebut-rebut mahu Baginda menetap di rumahnya. Adakah persaudaraan kita sesama Islam pada hari ini sudah di tahap itu atau lebih suka bercakaran sesama sendiri?

Kedatangan Nabi saw ke Madinah dimulakan dengan pembinaan masjid Quba'. Simbolik kepada umat Islam bahawa setiap perbuatan baik itu perlu dihubungkan dengan Allah swt. Juga untuk memberitahu bahawa masjid adalah pusat aktiviti utama umat Islam bagi segala urusan. Sekali lagi sebagai dalil, masjid dan urusan dunia perlu berjalan seiring dan seimbang. Bukan untuk memisahkan urusan dunia dan agama secara berasingan seperti mana yang diterapkan oleh golongan sekular.

Bukan mudah untuk berhijrah. Tanpa kekuatan iman dan taqwa maka tidak mungkin kita boleh berhijrah. Kalau mahu hidup selesa 24 jam, cukup makan minum, cukup tidurnya serta tidak mahu susah seperti yang dialami oleh Baginda dan para sahabat, usah bercakap pasal perjuangan Islam.

Saidina Umar ra mencabar kekuasaan pembesar Mekah agar menghalang beliau dari berhijrah. Tetapi kerana sifat penakut yang ada pada musyrikin Mekah, yang lebih takutkan mati dan mahu hidup senang, maka Saidina Umar dibiarkan hijrah tanpa tentangan. Sedangkan kekuatan teknologi senjata Musyrikin Mekah jauh lebih hebat dari Saidina Umar yang keseorangan.

Ini adalah bukti betapa takutnya musuh-musuh Islam kepada Muslim yang benar-benar bertaqwa. Negara sekular tutup mata kalau sahabat sekularnya ada senjata nuklear, tetapi takut macam tikus betina kalau dengar ada orang Muslim yang mampu buat senjata nuklear juga.

Itulah asas kekuatan umat Islam, iman dan taqwa. Persenjataan secanggih mana pun tidak boleh merobohkan kekuatan umat Islam ini. Iman dan taqwa itu sumbernya dari al-Quran dan as-Sunnah, kerana itulah musuh-musuh Islam tidak berputus asa agar umat Islam hidup berkiblatkan ideologi ciptaan manusia yang merapu-rapu agar kita tidak lagi mampu dalam suasana Islam yang tulen.

Hijrah adalah kewajipan setiap Muslim. Iaitu mendirikan sebuah negara yang adil dan menjaga kemaslahatan seluruh rakyatnya berteraskan Quran dan Sunnah. Hijrah ini adalah antara sunnah besar Nabi saw yang wajib diikuti sampai bila-bila.

Salam Maal Hijrah 1425. Semoga kita terus menghayati semangat hijrah yang telah ditunjukkan oleh Nabi dan para sahabat dalam segenap hidup kita.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan