Isnin, 6 Januari 2014

ISU:
Apakah pandangan Islam dalam berpolitik?

PENJELASAN:
Sekiranya politik ditakrifkan dengan takrifan umum iaitu ‘memelihara kemaslahatan ummah,’ maka ia adalah satu kewajipan terhadap semua individu atas dasar setiap manusia
adalah khalifah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mentadbir dan memelihara alam ini dengan sebaik-baiknya (Surah al-Baqarah, ayat 30). 

Ia juga adalah satu tuntutan berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang tidak mengambil berat hal berkaitan urusan orang-orang Islam, bukanlah dari golongan mereka”. Walaupun makna ‘mengambil berat urusan muslimin’ ini adalah umum dan dapat dilakukan juga dalam bidang-bidang lain, namun dalam politik aspek penguatkuasaannya lebih berkesan. 

Sekiranya kita melihat politik dari sudut yang lebih khusus seperti yang ditakrifkan oleh al-Nabhani iaitu “memelihara urusan umat dalaman dan luaran” ( ri’ayah al-shu’un al-ummah dakhiliyyan aw kharijiyyan), maka ia adalah satu bentuk fardhu kifayah iaitu kewajipan kepada mereka yang diberikan tanggungjawab dan amanah pemerintahan. Mereka bertanggungjawab memastikan keadilan dan kemaslahatan ummah terlaksana dalam urusan pemerintahan.

Walaupun urusan politik tidak termasuk dalam urusan keagamaan secara khusus (umur diniyyah) seperti hal akidah dan ibadah, namun dalam Islam, nilai-nilai agama harus mendasari setiap bidang kehidupan termasuk bidang politik. Justeru itu, di dalam Islam mereka yang diberikan amanah dalam siyasah dan pemerintahan, perlu menuruti nilai dan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh Islam. 

Antara karya penting yang boleh dirujuk dalam bidang politik Islam ialah Kitab Al-Tibr al-Masbuq fi Nasihat al-Muluk karangan Imam al-Ghazali dan Kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh al-Mawardi. 

Wallahu A’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan